Isnin, 19 Disember 2011

Projek Menambah Ruang Peliharaan Unggas

Sudah agak lama saya tak update blog ini. Kesempatan ini saya ingin berkongsi pengharapan dengan semua pengunjung. Sebenarnya sepanjang cuti sekolah hujung tahun ini saya telah memulakan satu projek baru untuk membesarkan ruang peliharaan unggas di Masiranfarm. Saya sedang membina 10 blok ruang peliharaan dengan keluasan 6kaki X 8kaki setiap satu. Projek ini masih dalam pembinaan dan saya lakukan sendiri mengikut masa yang terluang. Disini saya sertakan beberapa keping gambar untuk dikongsi bersama. Doakan projek saya ini membuahkan hasil.


Gambar diambil dari jauh, menunjukkan pembinaan 10 blok ruang ternak yang sedang dibina bakal menempatkan 10 spesis unggas pelbagai jenis



Dari pandangan sisi sebahagian ruang yang masih dalam pembinaan

Dari dekat, kawasan blok yang hanya perlu dipasang jaring besi dan lantai yang perlu disimen

Dihadapan blok tersebut berhajat untuk membina ruang untuk menempatkan anak-anak unggas yang berjaya ditetas... tetapi setakat ini hanya sempat mendirikan tiang sahaja...

Khamis, 18 Ogos 2011

Baka Ayam Belanda Coklat Telah Membiak

Beberapa bulan lalu saya telah menternak ayam belanda coklat. Alhamdulillah kini baka ayam belanda coklat telah mula bertelur dan telah berjaya ditetaskan. Hingga kini terdapat beberapa ekor anak ayam belanda coklat sedang dibesarkan di Masiranfarm. Sesiapa yang berminat boleh hubungi saya.

Seperti biasa saya paparkan gambar dan video baka ayam belanda coklat yang saya maksudkan. Cumanya ketika video dan gambar ini diambil ayam belanda tersebut saya letakkan dalam kurungan bersama dengan burung merak, tetapi kini telah dipisahkan kerana terdapat gangguan antara kedua-dua unggas tersebut




Sabtu, 30 Julai 2011

Pasangan Burung Kuang Emas dan Burung Kuang Silver Untuk Dijual!!!

Di masiranfarm terdapat sepasang burung kuang emas dan sepasang burung kuang silver. Saya telah memelihara burung kuang lebih setahun yang lalu. Saya telah membuat keputusan untuk menjualnya kepada pengunjung yang berminat kerana ingin menumpukan kepada pemeliharaan pelbagai spesis ayam. Juga disebabkan ruang ternakan yang sempit di masiranfarm mendorong saya untuk menjualnya. Sebenarnya saya amat sayang kepada pasangan burung kuang ini kerana kecantikan kombinasi warna yang mempersonakan. Namun atas sebab yang dinyatakan tadi saya bertekad untuk menjualnya kepada yang berminat. Sila hubungi(telefon) saya kepada yang benar-benar berminat.

Untuk tidak menghampakan pengunjung saya paparkan pasangan gambar dan videoa burung kuang emas.






Begitu juga dengan pasangan burung kuang silver, saya paparkan gambar dan video pasangan tersebut. Nilailah sendiri... bagi saya kedua-dua pasangan ini ada keistimewaan tersendiri.



Khamis, 28 Julai 2011

Baka Ayam Selasih Hitam

Alhamdulillah sehingga kini baka ayam selasih hitam terus bertelur dan banyak yang telah berjaya ditetaskan. Baka ayam selasih ini saya tempatkan di dalam kurungan yang agak besar dengan jumlah baka betina lebih banyak berbanding baka jantan.... Saksikan gambar dan video di bawah ini...



Isnin, 18 Julai 2011

AYAM SELASIH HITAM: MENCARI LIDAH HITAM!!!

Assalamualaikum

Sebagai penternak, saya sering dihubungi oleh teman-teman yang bertanyakan ayam selasih hitam yang mempunyai seluruh anggota ayam tersebut berwarna hitam termasuk lidahnya. Saya paparkan gambar salah seekor dari puluhan ekor ayam selasih hitam di Masiranfarm... saksikan samada lidahnya hitam atau sebaliknya.!!!



Ahad, 17 Julai 2011

Ayam Poland - Spesis Terkini di Masiranfarm

Jika sebelum ini saya dah postkan berkenaan ayam mini cochin iaitu spsesis terkini di Masiranfarm. Hari ini saya nak tambah lagi satu spesis unggas terkini iaitu AYAM POLAND. Buat permulaan saya hanya menternak 3 ekor sahaja(1 jantan dan 2 betina) sebagai baka untuk di biakkan di Masiranfarm. Alhamdulillah sekarang baka ayam poland sudah mula bertelur dan telurnya sedang dieramkan.

Sebagai perkongsian, saya paparkan beberapa gambar dan video ayam poland ketika saya lepaskan dari kurungan.



Isnin, 11 Julai 2011

Dua Ekor Merak Putih Jantan - Tukar Suka Sama Suka Dengan Merak Putih Betina

Sebelum ni saya telah membeli sepasang Merak Putih dari seorang kenalan. Apabila merak putih ni telah dewasa saya mendapati kedua-duanya jantan. Oleh itu saya berhajat kepada pengunjung blog ini yang ada memelihara lebihan merak putih betina, agar menghubungi saya untuk membuat pertukaran suka sama suka antara jantina jantan dan betina.

Untuk itu saya paparkan gambar dan video Merak Putih Jantan yang ada di MasiranFarm


Selasa, 5 Julai 2011

Spesis Unggas Terbaru di Masiranfarm - AYAM MINI COCHIN

Beberapa bulan yang lalu saya telah mula menternak spesis terbaru di Masiranfarm, iaitu ayam mini cochin. Alhamdulillah sehingga kini ayam yang saya pelihara telah bertelur dan telah menetaskan beberapa ekor anak yang masih kecil. Ayam mini cochin ini saya letakkan dalam kurungan yang agak besar, sesuai dengan jumlah yang dipelihara. Saya lebihkan jumlah baka betina berbanding baka jantan agar tidak berlaku perkelahian.

Untuk tatapan pengunjung, seperti biasa saya paparkan beberapa gambar dan video bagi memudahkan lagi para pengunjung mendapat gambaran sebenar mengenai pemeliharaan ayam mini cochin ini.




Selasa, 28 Jun 2011

Menternak Unggas Dalam Kurungan

Sebelum ini saya telah memelihara semua unggas secara lepas bebas di ladang. Kaedah ini saya dapati tidak berapa sesuai bagi sesetengah unggas, contohnya ayam mutiara dan ayam belanda. Saya dapati ayam jenis ini menghadapi masalah dari segi ketahanan diri dari serangan penyakit dan perubahan cuaca yang mendadak serta sukar mengesan kawasan penetasan telur.

Justeru saya telah mengubah kaedah pemeliharaan dengan menyediakan kawasan ternakan yang agak besar tetapi dipagar keseluruhannya termasuk bahagian atas. Disamping menyediakan sebuah "rumah" sebagai tempat berteduh dan bertelur. Ternyata pendekatan ini memudahkan penjagaan dan hasilnya lebih baik dari sebelumnya. Walaubagaimana pun saya masih membiarkan angsa bebas lepas di kawasan ladang bersama-sama spesis ayam kampung dan itik kerana angsa masih sesuai dengan habitat lepas bebas.

Berikut dipaparkan beberapa keping gambar sebagai tatapan pembaca sekelian.




Berikut dipaparkan juga video bagi memudahkan mendapat gambaran sebenar perkara ini.

Khamis, 9 Jun 2011

Perkembangan Dan Suasana Terkini Di Masiranfarm

Lebih setahun saya tidak mengemaskini blog ini secara serius bagi berkongsi pengalaman memelihara unggas kepada rakan pengunjung. Insya Allah mulai minggu ini saya cuba untuk memuat naik beberapa video dan gambar yang menceritakan perkembangan terkini di Masiranfarm.

Sebagai permulaan, secara sepintas lalu saya paparkan perkembangan dan suasana terkini di Masiranfarm yang telah berlaku beberapa penambahbaikan dalam usaha menternak unggas ini. Selamat menonton



Dari paparan umum ini, saya akan paparkan video secara khusus mengenai unggas peliharaan saya ini. Terdapat juga beberapa unggas yang baru saya ternak. Nantikan perkongsian ini....

Selasa, 26 April 2011

Pemberitahuan




Telah ramai yang bertanyakan kepada saya tentang jenis ayam selasih yang saya miliki. Dan telah berkali-kali saya menerangkan kepada mereka. Oleh itu, ingin saya jelaskan kepada anda semua bahawa jenis ayam selasih hitam yang saya miliki adalah jenis yang berbulu lembut seperti kapas seperti dalam gambar di atas. Kebaikannya lebih kurang sama dengan ayam hitam yang menyerupai ayam kampung biasa yang juga dikenali sebagai ayam selasih.

Disebabkan panggilan yang sama mengakibatkan kekeliruan di antara para pembeli.

Khamis, 21 April 2011

Ayam Belanda Coklat Dewasa Jantan


Kini menjual ayam belanda coklat jantan dewasa!!!

Terdapat 6 ekor sahaja

Harga boleh dirunding




Kepada pembeli yang berminat, hubungi saya segera...

Isnin, 28 Mac 2011

Ayam Selasih

Saya telah mengusahakan ternakan unggas selama lima tahun. Pada permulaannya, saya hanya mengerjakannya sebagai hobi semata-mata. Apabila ternakan saya membiak, saya promosikan di dalam laman blog saya (MASIRANFARM) untuk melariskan jualan. Antara spesies ayam yang saya ingin nyatakan di sini adalah spesies Ayam Selasih. Tidak ramai yang mengetahuinya & kini barulah ada sebilangan pelanggan yang bertanyakan tentangnya.

Sudah hampir setahun saya membiak Ayam Selasih Hitam & Ayam Selasih Putih. Sekarang barulah mula dijual hasilnya. Permintaan ayam jenis ini amat menggalakkan. Ada yang inginkan ia hanya kerana ayam ini kelihatan menarik untuk dipelihara di dalam sangkar. Ada juga yang menginginkannya kerana sering digunakan dalam perubatan tradisional, untuk membuang saka & jin.

Ada pula pelanggan berbangsa Cina yang menggunakan ayam ini, terutamanya Ayam Selasih Hitam, untuk perubatan seperti dimasak sup bercampur herba yang dikenali sebagai 'Herba Maharani'. Ia bertujuan untuk menguatkan tenaga bagi golongan tua atau bagi wanita yang memgalami masalah wanita seperti kitaran haid tidak tetap, senggugut, monopos serta wanita yang baru bersalin. Bagi masyarakat India pula, mereka menggunakan ayam selasih untuk perubatan dan upacara sembahyang/pemujaan agama mereka.

Selain daripada kegunaan yang dinyatakan sebentar tadi, ayam ini juga dipercayai mempunyai khasiat lain seperti:-

  • Melancarkan peredaran darah seterusnya menghilangkan kelesuan
  • Melegakan asma
  • Baik untuk pesakit diabetes ( kencing manis )
  • Menyelesaikan masalah buasir kecil
  • Melegakan sakit pinggang, sendi & lutut
  • Melegakan migrain & angin dalam badan
  • Menguatkan hati & buah pinggang
  • Menaikkan seri muka dengan mencantik, menegang & melicinkan kulit
Oleh itu kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Ayam Selasih Hitam atau Ayam Selasih Putih, sila hubungi saya segera selagi stok masih ada.

Ahad, 20 Februari 2011

Lawatan Sambil Belajar

Sekumpulan pelajar UPM Jurusan Pertanian & Penternakan (gambar) membuat lawatan sambil belajar hari ini. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk menuntut ilmu penternakan unggas. Sebelum ini pernah juga pelajar UPSI datang untuk mendapatkan ilmu penternakan ayam. Kedua-dua rombongan tersebut saya layani dengan sebaik mungkin. Diharap pelajar-pelajar tersebut dapat memanfaatkan & menghargai ilmu & pengalaman yang saya berikan.

Rabu, 22 Disember 2010

Ayam Selasih Putih!!!


Saya kini menjual ayam selasih putih (seperti di dalam gambar) dengan harga yang berpatutan!!!
Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya di no. yang tertera dalam blog ini untuk maklumat lanjut...
Tawaran terhad!!!
First call first serve!!!


Jumaat, 24 September 2010

Berita Baik Untuk Peminat Burung Merak.


Ada 4 ekor merak matang untuk pembiakan berharga RM750 SEEKOR.
Hanya kepada pembeli yang SERIUS sahaja.

Anda boleh hubungi saya bernombor 017-430-1145.

SOLD!!!

Isnin, 13 September 2010

Simpati Pengusaha Unggas Di Malaysia Timur (Sabah & Sarawak)

Assalamualaikum,

Saya telah mengusahakan unggas selama 4 tahun 10 bulan. Bermacam-macam rintangan yang dilalui. Namun saya tidak berputus asa. Malah pengalaman ini amat menghiburkan. Satu demi satu unggas yang saya ceburi, masing-masing menghasilkan buahnya.

Dari semua sudut, saya amat berbangga kerana dapat berkongsi maklumat dengan pengusaha unggas di Semenanjung. Ada yang setanding dengan saya. Semua hasil unggas saya telah berada di seluruh negeri di Semenajung Malaysia. Mereka langsung tidak menghadapi masalah terutama penyakit, kerana saya menjual dan pada masa yang sama saya terus memberi khidmat nasihat. Syukur alhamdulillah.

Perkara penting yang menyedihkan saya adalah permintaan di Malaysia Timur tidak dapat saya penuhi. Ramai malah berpuluh-puluh pengusaha unggas di Malaysia Timur terutama di Sabah dan Sarawak gagal untuk mendapatkan bekalan terutama anak ayam belanda, ayam mutiara dan angsa. Ini adalah kerana negeri tersebut tidak boleh meluluskan lesen import unggas. Saya hairan dan pelik mengapa PM kita melaungkan 1 Malaysia sedangkan perkara sekecil ini tidak dapat dinikmati keseronokannya bersama. Tersentuh jiwa saya dibuatnya dengan ini saya hanya dapat meluahkan perasaan saya melalui blog ini.

Wassalam...

Isnin, 31 Mei 2010

Berita Mengenai MasiranFarm Di Harian Metro





jika kurang jelas, sila klik gambar tersebut..terima kasih.

Ahad, 30 Mei 2010

Masiranfarm di Metro Ahad 30 Mei2010

Assalamualaikum

Ikuti kisah terkini masiranfarm di Metro Ahad (30 Mei 2010) dengan tajuk SYURGA UNGGAS
Dalam edisi cetakan terdapat 7 keping gambar berwarna yang menggambarkan suasana unggas di masiranfarm
..................


Syurga unggas
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/05/30

SERONOKNYA melihat sekawan angsa bercempera menyeberangi kolam untuk menyelamatkan diri apabila penulis dan jurugambar menghampiri. Riuhnya usah cerita.

Pemandangan di Masiran Farm, Kampung Ara Payung, Batu Gajah, Perak lain daripada biasa kerana suasananya sukar ditemui di zaman ini. Di kawasan lapang berhamparan pasir memutih itu, pelbagai jenis unggas bertebaran mencari makan dan berehat. Terlintas di dalam hati, rupanya masih ada suasana desa permai dan mengasyikkan seperti yang pernah penulis lihat sewaktu menjejakkan kaki ke kampung ibu di Perak, kira-kira 30 tahun lalu. Ia seolah-olah taman burung mini yang menempatkan pelbagai jenis unggas tetapi bertebaran dalam habitat semula jadi. Ketika penulis menyuarakan pandangan mengenai keindahan kawasan itu, pemiliknya, Masiran Kaamin, 52, berkata dia sendiri kurang pasti mengenai perkara itu, tetapi katanya, pengunjung lain turut memberi komen sama.


“Orang kata tempat ini cantik, tapi saya kata ‘mana ada cantik’. Kata mereka, susah hendak cari pemandangan seperti ini sekarang ini,” katanya yang berhasrat membuat kolam lebih besar di ladang itu. Ikan keli, haruan, tilapia dan ketutu dipelihara di kolam tetapi bukan tujuan komersial, sebaliknya untuk suka-suka. Ladang ternakan itu diusahakannya lebih empat tahun lalu untuk menambah pendapatan keluarga selain memanfaatkan tanah cerun di tepi rumahnya.


Awalnya Masiran memelihara ayam kampung selama hampir setahun. Bagaimanapun, apabila harga makanan ayam naik mendadak akibat kenaikan harga minyak pada 2007, dia terpaksa membuat perubahan.


“Saya kemudian mempelbagaikan haiwan peliharaan dengan membela ayam Belanda, ayam Mutiara dan angsa. Ini kerana anak unggas terbabit mahal jika dijual serta boleh untung manakala kos makanan tidak terlalu tinggi seperti menternak ayam,” katanya.


Bertindak sebagai pembekal, Masiran menawarkan pelbagai unggas terutama anak untuk jualan. Ketika kunjungan, terdapat anak ayam Belanda berusia seminggu, anak merak (dua minggu), ayam mutiara (dua hari) dan anak angsa (seminggu) untuk jualan. Turut dipelihara ialah ayam selasih, ayam bulu balik, ayam kampung, ayam kapas, ayam kampung botak, itik serati, burung Budgie dan Chukar. Anak merak India berusia dua minggu dijual dengan harga RM160 seekor. Harganya mahal kerana unggas itu sukar membiak.


“Terdapat lima ekor, tetapi semua sudah ada pembeli,” katanya.


Ayam mutiara antara unggas menerima permintaan tinggi daripada pembeli. Masiran mendapat baka ayam berkenaan yang diberikan seorang kenalan tiga tahun lalu. Ayam mutiara yang turut digelar ayam api-api itu dibiakkan, bertelur 30 biji dan ditetaskan menerusi inkubator. “Ayam ini bulunya cantik manakala dagingnya enak. Rasa dagingnya seperti burung, sedap dimasak rendang atau kicap. Seekor ayam mutiara dewasa hidup dijual RM60 seekor manakala di kedai, ia dijual RM120. “Ayam mutiara Lavender yang lebih cantik, lebih mahal harganya. Seekor anak berusia seminggu dijual RM50. Ayam mutiara akan membuat bising dan menyerang secara berkumpulan jika ternampak ular.


“Harga ditentukan mengikut saiz ternakan. Namun begitu, harga yang ditawarkan berpatutan. Buat masa sekarang ternakan seperti ayam kapas, ayam Belanda, ayam mutiara, merak, itik dan angsa hanya anak saja yang dijual. Unggas dewasa hanya dijadikan baka untuk mendapatkan telurnya,” katanya.


Ayam selasih yang diperoleh Masiran dari Perlis, dipelihara dalam sangkar juga tidak dijual kerana mahu dijadikan baka. Bulunya seperti kapas dan terdapat dalam dua warna iaitu hitam atau putih. Angsa yang berjaya dibiakkan, bebas mencari makan dan berkeliaran di habitat semula jadinya. Beberapa tahun lalu, angsa tidak dijual di pasaran tetapi diimport dari Thailand. Masiran terpaksa membayar RM150 untuk memiliki ibu angsa berwarna hitam kelabu manakala angsa putih RM250 seekor.


“Ketika mencari baka angsa di sekitar kampung, saya terpaksa membayar jumlah yang tinggi kerana pemilik tidak mahu menjual, tetapi saya beriya-iya hendak membeli.


“Apabila ia berjaya dibiakkan, saya tidak tahu cara hendak menentukan harga. Ketika menjualnya di pasar minggu, saya meletak harga RM50 seekor dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Bagaimanapun, ada juga rakan memberi komen, harga itu mahal. Saya beritahu, ketika saya pelihara dan angsa belum bertelur, siapa hendak bagi makan.


“Seekor angsa berusia tujuh atau lapan bulan sudah boleh bertelur menghasilkan antara 20 hingga 30 biji. Harga angsa mahal kerana ia berguna untuk memelihara kawasan, rumah, ternakan atau kebun. Angsa akan membuat bising apabila ada orang tidak dikenali,” katanya yang mempunyai pembeli dari seluruh negara. Menurutnya, kos memelihara angsa banyak tertumpu kepada penyediaan makanannya. Sumber makanan tambahan daripada bahan buangan seperti lebihan makanan dan tanaman seperti daun pisang boleh boleh membantu menjimatkan kos. Meninjau burung Budgie, spesies burung nuri dari Australia dan dibawa masuk dari Thailand yang dipelihara Masiran cukup mengujakan. Keindahan unggas itu cukup memikat hati dengan pelbagai warna seperti putih, biru, kuning, hijau, merah atau gabungan pelbagai warna.


Katanya, haiwan bersaiz sebesar burung merbah itu mampu hidup antara lapan hingga 14 tahun malah ada yang boleh hidup sehingga 20 tahun. Daripada 68 ekor dipelihara November tahun lalu, kini Masiran berjaya membiakkan sehingga menjadi 160 pasang dan bercadang mencukupkan hingga 200 pasang. Bagaimanapun, Masiran belum bercadang menjual unggas berkenaan kerana mahu membiakkan baka terlebih dulu.


“Sebagai penternak, saat menggembirakan dan memberi kepuasan ialah unggas yang diternak mula bertelur. Di sini, angsa, ayam Belanda, ayam mutiara, ayam kampung dan itik serati antara unggas yang sentiasa bertelur apabila cukup matang. “Pada Jun, ratusan angsa di sini tidak bertelur kerana ketika itu sedang galak mengawan sebagai persiapan untuk bertelur pada musim berikutnya. Pada awal Julai, angsa kembali bertelur. Disebabkan itu, pada Jun, tiada anak angsa yang menetas dan permintaan anak angsa daripada pelanggan tidak dapat dipenuhi.


“Walaupun tempat bertelur disediakan, setiap hari telur angsa dikutip di merata tempat di ladang ini kerana unggas berkenaan memilih tempat yang sesuai bagi habitat mereka,” katanya. Dia yang melariskan jualan unggas menerusi laman web masiranfarm.blogspot.com berharap kerajaan melonggarkan syarat penghantaran unggas ke Malaysia Timur.


“Sebelum ini, saya menghantar tempahan kepada pelanggan dari Sabah dan Sarawak, tetapi kini tidak lagi berpeluang berbuat demikian apabila Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah tidak meluluskan penghantaran.


“Saya harap kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini dengan melonggarkan sedikit syarat penghantaran bagi memperluaskan pasaran ekoran permintaan tinggi daripada peminat unggas di sana,” katanya.


Masiran turut memiliki dua pasang burung Chukar daripada seorang kenalan. Habitat burung berkenaan hampir sama seperti burung puyuh dan saiznya lebih kurang tiga kali ganda dari saiz burung puyuh dewasa. Buat masa ini, unggas berkenaan tidak dijual kerana dijadikan baka untuk pembiakan.

SUMBER: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syurgaunggas/myMA/myArticle/

Isnin, 8 Februari 2010

PERKEMBANGAN TERKINI BURUNG BUDGIE DI MASIRANFARM

Tujuh bulan lepas saya ada masukkan dalam blog ini mengenai hasrat saya untuk memelihara burung budgie. Alhamdulillah... kini hasrat saya itu sudah tercapai, walaupun target sebenar saya beum dipenuhi. Saya telah membina rumah untuk burung budgie dengan ukuran 30 kaki X 8 kaki X 6 kaki. Dan sehingga kini lebih kurang 130 ekor burung budgie telah dipelihara.... sasaran saya adalah untuk memelihara sehingga 400 ekor!!! Justeru itu saya masih membeli baka burung budgie dan pada masa yang sama burung budgie ini terus membiak dirumahnya. Untuk lebih jelas saya sertakan beberapa gambar yang sempat dirakam

Inilah rumah burung budgie (30'x8'x6') yang bakal menempatkan 400 ekor budgie!!!



Sebahagian burung budgie di dalam sangkar besarnya...

Inilah telur burung budgie di dalam sarangnya yang diperbuat dari sabut kelapa


Yang terkeluar kepala dari sarang (sabut kelapa) adalah anak budgie yang menunggu masa untuk keluar(terbang)



Pandangan dari dekat kecantikan burung budgie

Satu lagi gambar sederet burung budgie sedang bertenggek di atas tali

Untuk lebih jelas... saya sertakan video klip untuk melihat gelagat burung budgie di MasiranFarm... Selamat menonton

Sabtu, 23 Januari 2010

MARI MENGENAL JANTINA ANGSA

Untuk mudah mengenali jantina angsa adalah dengan melihat saiz "bonjol" di kepala angsa. Terdapat perbezaan saiz bonjol bagi jantan dan betina di mana saiz bonjol jantan lebih besar berbanding yang betina. Perhatikan saiz bonjol di kepala angsa!!!
Video klip berikut ini menjelaskan lagi bagaimana menentukan jantina angsa... Maaf suara dalam video ini kurang jelas kerana gangguan suara angsa yang sedang mengeram


Rabu, 13 Januari 2010

CARA MENGENAL JANTINA AYAM MUTIARA

Sejak memelihara ayam mutiara, kaedah yang saya gunakan untuk mengenal jantina ayam mutiara adalah melalui kedudukan "tanduk" di atas kepala ayam mutiara. Terdapat perbezaan tanduk bagi jantan dan betina. Ikuti penerangan ringkas mengenainya dalam video klip berikut ini. Seperti biasa... penjelasan ini berdasarkan pengalaman saya memelihara dan bukan melalui pembacaan... selamat menonton


Khamis, 7 Januari 2010

KELEBIHAN AYAM MUTIARA

Percaya atau tidak... seekor ayam mutiara jika bertelur boleh mencapai sehingga 30 biji bagi setiap musim. Sudah tentu lumayan jika kesemuanya berjaya ditetaskan... Apapun untuk maklumat lanjut boleh tonton video klip berikut... mudah-mudahan ada manfaatnya kepada rakan ternak sekelian

Jumaat, 1 Januari 2010

PEMBIAKAN AYAM BELANDA

Video berikut ini menceritakan pengalaman saya melakukan pembiakan ke atas ayam belanda melalui telur yang dieramkan. Video ini lebih menekankan kepada kaedah pengeraman yang dilakukan olehi ibu ayam belanda sendiri dan sedikit saja kaitannya dengan pengeraman menggunakan incubator. Seperti biasa... ini penggalaman saya, mungkin tidak sesuai dengan penternak lain. Ambillah mana-mana yang boleh dimanfaatkan

Ahad, 27 Disember 2009

TIPS PENJAGAAN AYAM BELANDA DEWASA

Jika dalam entry sebelum ini telah dijelaskan mengenai tips menternak anak ayam belanda setelah keluar dari tempat penetasan hingga dilepaskan dari kurungan. Kini dalam video klip berikut ini diterangkan penjagaan ayam belanda dewasa yang hidup bebas dalam habitat di masiranfarm. Semoga penerangan ini membantu rakan ternak semua... selamat menonton

Sabtu, 19 Disember 2009

TIPS MENTERNAK ANAK AYAM MUTIARA

Tips memelihara anak ayam mutiara lebih kurang sama dengan kaedah memelihara anak ayam belanda. Video klip berikut ini menjelaskan kaedah tambahan penjagaan anak ayam mutiara. Untuk memahami video klip ini, rakan ternak perlu terlebih dahulu menonton video klip tips menternak anak ayam belanda di entry sebelum ini dan barulah dapat memahami video klip berikut ini. Apa pun ini adalah pengalaman saya di masiranfarm ketika menternak ayam mutiara dan ayam belanda... semoga dapat manfaat dari perkongsian ini. Selamat menonton

Jumaat, 18 Disember 2009

TIPS MENTERNAK ANAK AYAM BELANDA

Ramai dikalangan rakan ternak bertanyakan kepada saya bagaimana cara menternak anak ayam belanda. Bagi menjawab kepada pertanyaan ini, saya rangkumkan penjelasan ini melalui klip video di bawah ini... ianya menceritakan penjagaan anak ayam belanda sebaik keluar dari incubator hinggalah usia anak ayam belanda ini boleh dilepaskan dari kurungan. Penjelasan ini berdasarkan pengalaman saya di MasiranFarm, mungkin ada rakan ternak yang lain mempunyai pengalaman yang berbeza dari MasiranFarm. Sekadar perkongsian yang mungkin dapat dimanfaatkan bersama. Maaf... video amatur... tanpa skrip yang dihafal.


Jumaat, 23 Oktober 2009

Terbaru! Burung Chukar Di MasiranFarm

Baru-baru ini saya telah mendapat 2 pasang burung Chukar (juga disebut Chukar Partridge) dari seorang kenalan. Burung Chukar ini habitatnya lebih kurang sama seperti burung puyuh dan saiznya lebih kurang tiga kali ganda dari saiz burung puyuh dewasa. Di MasiranFarm, spesis burung ini saya letakkan bersama-sama dengan burung Budgie di dalam rumah/reban burung yang besar. Burung Chukar ini boleh hidup bersama dengan burung Budgie dan pada masa yang sama makanan lebihan dari burung Budgie boleh dimakan oleh burung Chukar. Burung Chukar sendiri makanannya ialah dedak ayam (berwarna hitam). Berikut disertakan gambar burung Chukar di MasiranFarm untuk tatapan pengunjung.

Sepasang burung Chukar dipenjuru reban burung. Perhatikan warna bulunya


Dua pasang burung Chukar

Untuk lebih jelas lagi, berikut disertakan video klip yang menunjukkan burung Chukar di dalam habitatnya bersama burung Budgie

Sabtu, 17 Oktober 2009

Kawasan Ternak MasiranFarm

Di bawah ini adalah gambar (sila klik pada gambar untuk imej lebih besar) yang menunjukkan sebahagian kawasan ternak yang menempatkan sebahagian besar haiwan ternak seperti angsa, ayam belanda, ayam mutiara, ayam kampung, itik serati, kambing dan lain-lain spesis tambahan. Dan didalam kolam pula terdapat ikan keli, ikan haruan, ikan talapia dan ikan ketutu... tetapi bukan tujuan komersial, hanya untuk personel interest sahaja.

Khamis, 15 Oktober 2009

Ayam Kampung Botak

Di Masiranfarm terdapat juga beberapa spesis ayam kampung. Sekadar mempelbagaikan jenis ternakan agar lebih meriah. Antaranya ialah spesis yang saya namakan ayam kampung botak. Botak bermaksud tengkuknya tidak berbulu. Spesis ini adalah kacukan dari baka betina ayam janggut (tengkuknya tidak berbulu) yang dikahwinkan dengan baka jantan ayam kampung ori. Tujuan dikacuk agar spesis ayam ini tahan lasak apabila kena hujan. Dan sekarang ini adalah kacukan generasi ke lima

Baka jantan ayam kampung botak


Gambar sebahagian dari spesis ayam kampung botak

Video klip berikutnya cuba untuk menjelaskan lagi spesis ayam ini... selamat menonton