Isnin, 31 Mei 2010

Berita Mengenai MasiranFarm Di Harian Metro





jika kurang jelas, sila klik gambar tersebut..terima kasih.

Ahad, 30 Mei 2010

Masiranfarm di Metro Ahad 30 Mei2010

Assalamualaikum

Ikuti kisah terkini masiranfarm di Metro Ahad (30 Mei 2010) dengan tajuk SYURGA UNGGAS
Dalam edisi cetakan terdapat 7 keping gambar berwarna yang menggambarkan suasana unggas di masiranfarm
..................


Syurga unggas
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/05/30

SERONOKNYA melihat sekawan angsa bercempera menyeberangi kolam untuk menyelamatkan diri apabila penulis dan jurugambar menghampiri. Riuhnya usah cerita.

Pemandangan di Masiran Farm, Kampung Ara Payung, Batu Gajah, Perak lain daripada biasa kerana suasananya sukar ditemui di zaman ini. Di kawasan lapang berhamparan pasir memutih itu, pelbagai jenis unggas bertebaran mencari makan dan berehat. Terlintas di dalam hati, rupanya masih ada suasana desa permai dan mengasyikkan seperti yang pernah penulis lihat sewaktu menjejakkan kaki ke kampung ibu di Perak, kira-kira 30 tahun lalu. Ia seolah-olah taman burung mini yang menempatkan pelbagai jenis unggas tetapi bertebaran dalam habitat semula jadi. Ketika penulis menyuarakan pandangan mengenai keindahan kawasan itu, pemiliknya, Masiran Kaamin, 52, berkata dia sendiri kurang pasti mengenai perkara itu, tetapi katanya, pengunjung lain turut memberi komen sama.


“Orang kata tempat ini cantik, tapi saya kata ‘mana ada cantik’. Kata mereka, susah hendak cari pemandangan seperti ini sekarang ini,” katanya yang berhasrat membuat kolam lebih besar di ladang itu. Ikan keli, haruan, tilapia dan ketutu dipelihara di kolam tetapi bukan tujuan komersial, sebaliknya untuk suka-suka. Ladang ternakan itu diusahakannya lebih empat tahun lalu untuk menambah pendapatan keluarga selain memanfaatkan tanah cerun di tepi rumahnya.


Awalnya Masiran memelihara ayam kampung selama hampir setahun. Bagaimanapun, apabila harga makanan ayam naik mendadak akibat kenaikan harga minyak pada 2007, dia terpaksa membuat perubahan.


“Saya kemudian mempelbagaikan haiwan peliharaan dengan membela ayam Belanda, ayam Mutiara dan angsa. Ini kerana anak unggas terbabit mahal jika dijual serta boleh untung manakala kos makanan tidak terlalu tinggi seperti menternak ayam,” katanya.


Bertindak sebagai pembekal, Masiran menawarkan pelbagai unggas terutama anak untuk jualan. Ketika kunjungan, terdapat anak ayam Belanda berusia seminggu, anak merak (dua minggu), ayam mutiara (dua hari) dan anak angsa (seminggu) untuk jualan. Turut dipelihara ialah ayam selasih, ayam bulu balik, ayam kampung, ayam kapas, ayam kampung botak, itik serati, burung Budgie dan Chukar. Anak merak India berusia dua minggu dijual dengan harga RM160 seekor. Harganya mahal kerana unggas itu sukar membiak.


“Terdapat lima ekor, tetapi semua sudah ada pembeli,” katanya.


Ayam mutiara antara unggas menerima permintaan tinggi daripada pembeli. Masiran mendapat baka ayam berkenaan yang diberikan seorang kenalan tiga tahun lalu. Ayam mutiara yang turut digelar ayam api-api itu dibiakkan, bertelur 30 biji dan ditetaskan menerusi inkubator. “Ayam ini bulunya cantik manakala dagingnya enak. Rasa dagingnya seperti burung, sedap dimasak rendang atau kicap. Seekor ayam mutiara dewasa hidup dijual RM60 seekor manakala di kedai, ia dijual RM120. “Ayam mutiara Lavender yang lebih cantik, lebih mahal harganya. Seekor anak berusia seminggu dijual RM50. Ayam mutiara akan membuat bising dan menyerang secara berkumpulan jika ternampak ular.


“Harga ditentukan mengikut saiz ternakan. Namun begitu, harga yang ditawarkan berpatutan. Buat masa sekarang ternakan seperti ayam kapas, ayam Belanda, ayam mutiara, merak, itik dan angsa hanya anak saja yang dijual. Unggas dewasa hanya dijadikan baka untuk mendapatkan telurnya,” katanya.


Ayam selasih yang diperoleh Masiran dari Perlis, dipelihara dalam sangkar juga tidak dijual kerana mahu dijadikan baka. Bulunya seperti kapas dan terdapat dalam dua warna iaitu hitam atau putih. Angsa yang berjaya dibiakkan, bebas mencari makan dan berkeliaran di habitat semula jadinya. Beberapa tahun lalu, angsa tidak dijual di pasaran tetapi diimport dari Thailand. Masiran terpaksa membayar RM150 untuk memiliki ibu angsa berwarna hitam kelabu manakala angsa putih RM250 seekor.


“Ketika mencari baka angsa di sekitar kampung, saya terpaksa membayar jumlah yang tinggi kerana pemilik tidak mahu menjual, tetapi saya beriya-iya hendak membeli.


“Apabila ia berjaya dibiakkan, saya tidak tahu cara hendak menentukan harga. Ketika menjualnya di pasar minggu, saya meletak harga RM50 seekor dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Bagaimanapun, ada juga rakan memberi komen, harga itu mahal. Saya beritahu, ketika saya pelihara dan angsa belum bertelur, siapa hendak bagi makan.


“Seekor angsa berusia tujuh atau lapan bulan sudah boleh bertelur menghasilkan antara 20 hingga 30 biji. Harga angsa mahal kerana ia berguna untuk memelihara kawasan, rumah, ternakan atau kebun. Angsa akan membuat bising apabila ada orang tidak dikenali,” katanya yang mempunyai pembeli dari seluruh negara. Menurutnya, kos memelihara angsa banyak tertumpu kepada penyediaan makanannya. Sumber makanan tambahan daripada bahan buangan seperti lebihan makanan dan tanaman seperti daun pisang boleh boleh membantu menjimatkan kos. Meninjau burung Budgie, spesies burung nuri dari Australia dan dibawa masuk dari Thailand yang dipelihara Masiran cukup mengujakan. Keindahan unggas itu cukup memikat hati dengan pelbagai warna seperti putih, biru, kuning, hijau, merah atau gabungan pelbagai warna.


Katanya, haiwan bersaiz sebesar burung merbah itu mampu hidup antara lapan hingga 14 tahun malah ada yang boleh hidup sehingga 20 tahun. Daripada 68 ekor dipelihara November tahun lalu, kini Masiran berjaya membiakkan sehingga menjadi 160 pasang dan bercadang mencukupkan hingga 200 pasang. Bagaimanapun, Masiran belum bercadang menjual unggas berkenaan kerana mahu membiakkan baka terlebih dulu.


“Sebagai penternak, saat menggembirakan dan memberi kepuasan ialah unggas yang diternak mula bertelur. Di sini, angsa, ayam Belanda, ayam mutiara, ayam kampung dan itik serati antara unggas yang sentiasa bertelur apabila cukup matang. “Pada Jun, ratusan angsa di sini tidak bertelur kerana ketika itu sedang galak mengawan sebagai persiapan untuk bertelur pada musim berikutnya. Pada awal Julai, angsa kembali bertelur. Disebabkan itu, pada Jun, tiada anak angsa yang menetas dan permintaan anak angsa daripada pelanggan tidak dapat dipenuhi.


“Walaupun tempat bertelur disediakan, setiap hari telur angsa dikutip di merata tempat di ladang ini kerana unggas berkenaan memilih tempat yang sesuai bagi habitat mereka,” katanya. Dia yang melariskan jualan unggas menerusi laman web masiranfarm.blogspot.com berharap kerajaan melonggarkan syarat penghantaran unggas ke Malaysia Timur.


“Sebelum ini, saya menghantar tempahan kepada pelanggan dari Sabah dan Sarawak, tetapi kini tidak lagi berpeluang berbuat demikian apabila Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah tidak meluluskan penghantaran.


“Saya harap kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini dengan melonggarkan sedikit syarat penghantaran bagi memperluaskan pasaran ekoran permintaan tinggi daripada peminat unggas di sana,” katanya.


Masiran turut memiliki dua pasang burung Chukar daripada seorang kenalan. Habitat burung berkenaan hampir sama seperti burung puyuh dan saiznya lebih kurang tiga kali ganda dari saiz burung puyuh dewasa. Buat masa ini, unggas berkenaan tidak dijual kerana dijadikan baka untuk pembiakan.

SUMBER: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syurgaunggas/myMA/myArticle/

Isnin, 8 Februari 2010

PERKEMBANGAN TERKINI BURUNG BUDGIE DI MASIRANFARM

Tujuh bulan lepas saya ada masukkan dalam blog ini mengenai hasrat saya untuk memelihara burung budgie. Alhamdulillah... kini hasrat saya itu sudah tercapai, walaupun target sebenar saya beum dipenuhi. Saya telah membina rumah untuk burung budgie dengan ukuran 30 kaki X 8 kaki X 6 kaki. Dan sehingga kini lebih kurang 130 ekor burung budgie telah dipelihara.... sasaran saya adalah untuk memelihara sehingga 400 ekor!!! Justeru itu saya masih membeli baka burung budgie dan pada masa yang sama burung budgie ini terus membiak dirumahnya. Untuk lebih jelas saya sertakan beberapa gambar yang sempat dirakam

Inilah rumah burung budgie (30'x8'x6') yang bakal menempatkan 400 ekor budgie!!!



Sebahagian burung budgie di dalam sangkar besarnya...

Inilah telur burung budgie di dalam sarangnya yang diperbuat dari sabut kelapa


Yang terkeluar kepala dari sarang (sabut kelapa) adalah anak budgie yang menunggu masa untuk keluar(terbang)



Pandangan dari dekat kecantikan burung budgie

Satu lagi gambar sederet burung budgie sedang bertenggek di atas tali

Untuk lebih jelas... saya sertakan video klip untuk melihat gelagat burung budgie di MasiranFarm... Selamat menonton

Sabtu, 23 Januari 2010

MARI MENGENAL JANTINA ANGSA

Untuk mudah mengenali jantina angsa adalah dengan melihat saiz "bonjol" di kepala angsa. Terdapat perbezaan saiz bonjol bagi jantan dan betina di mana saiz bonjol jantan lebih besar berbanding yang betina. Perhatikan saiz bonjol di kepala angsa!!!
Video klip berikut ini menjelaskan lagi bagaimana menentukan jantina angsa... Maaf suara dalam video ini kurang jelas kerana gangguan suara angsa yang sedang mengeram


Rabu, 13 Januari 2010

CARA MENGENAL JANTINA AYAM MUTIARA

Sejak memelihara ayam mutiara, kaedah yang saya gunakan untuk mengenal jantina ayam mutiara adalah melalui kedudukan "tanduk" di atas kepala ayam mutiara. Terdapat perbezaan tanduk bagi jantan dan betina. Ikuti penerangan ringkas mengenainya dalam video klip berikut ini. Seperti biasa... penjelasan ini berdasarkan pengalaman saya memelihara dan bukan melalui pembacaan... selamat menonton


Khamis, 7 Januari 2010

KELEBIHAN AYAM MUTIARA

Percaya atau tidak... seekor ayam mutiara jika bertelur boleh mencapai sehingga 30 biji bagi setiap musim. Sudah tentu lumayan jika kesemuanya berjaya ditetaskan... Apapun untuk maklumat lanjut boleh tonton video klip berikut... mudah-mudahan ada manfaatnya kepada rakan ternak sekelian

Jumaat, 1 Januari 2010

PEMBIAKAN AYAM BELANDA

Video berikut ini menceritakan pengalaman saya melakukan pembiakan ke atas ayam belanda melalui telur yang dieramkan. Video ini lebih menekankan kepada kaedah pengeraman yang dilakukan olehi ibu ayam belanda sendiri dan sedikit saja kaitannya dengan pengeraman menggunakan incubator. Seperti biasa... ini penggalaman saya, mungkin tidak sesuai dengan penternak lain. Ambillah mana-mana yang boleh dimanfaatkan

Ahad, 27 Disember 2009

TIPS PENJAGAAN AYAM BELANDA DEWASA

Jika dalam entry sebelum ini telah dijelaskan mengenai tips menternak anak ayam belanda setelah keluar dari tempat penetasan hingga dilepaskan dari kurungan. Kini dalam video klip berikut ini diterangkan penjagaan ayam belanda dewasa yang hidup bebas dalam habitat di masiranfarm. Semoga penerangan ini membantu rakan ternak semua... selamat menonton

Sabtu, 19 Disember 2009

TIPS MENTERNAK ANAK AYAM MUTIARA

Tips memelihara anak ayam mutiara lebih kurang sama dengan kaedah memelihara anak ayam belanda. Video klip berikut ini menjelaskan kaedah tambahan penjagaan anak ayam mutiara. Untuk memahami video klip ini, rakan ternak perlu terlebih dahulu menonton video klip tips menternak anak ayam belanda di entry sebelum ini dan barulah dapat memahami video klip berikut ini. Apa pun ini adalah pengalaman saya di masiranfarm ketika menternak ayam mutiara dan ayam belanda... semoga dapat manfaat dari perkongsian ini. Selamat menonton

Jumaat, 18 Disember 2009

TIPS MENTERNAK ANAK AYAM BELANDA

Ramai dikalangan rakan ternak bertanyakan kepada saya bagaimana cara menternak anak ayam belanda. Bagi menjawab kepada pertanyaan ini, saya rangkumkan penjelasan ini melalui klip video di bawah ini... ianya menceritakan penjagaan anak ayam belanda sebaik keluar dari incubator hinggalah usia anak ayam belanda ini boleh dilepaskan dari kurungan. Penjelasan ini berdasarkan pengalaman saya di MasiranFarm, mungkin ada rakan ternak yang lain mempunyai pengalaman yang berbeza dari MasiranFarm. Sekadar perkongsian yang mungkin dapat dimanfaatkan bersama. Maaf... video amatur... tanpa skrip yang dihafal.


Jumaat, 23 Oktober 2009

Terbaru! Burung Chukar Di MasiranFarm

Baru-baru ini saya telah mendapat 2 pasang burung Chukar (juga disebut Chukar Partridge) dari seorang kenalan. Burung Chukar ini habitatnya lebih kurang sama seperti burung puyuh dan saiznya lebih kurang tiga kali ganda dari saiz burung puyuh dewasa. Di MasiranFarm, spesis burung ini saya letakkan bersama-sama dengan burung Budgie di dalam rumah/reban burung yang besar. Burung Chukar ini boleh hidup bersama dengan burung Budgie dan pada masa yang sama makanan lebihan dari burung Budgie boleh dimakan oleh burung Chukar. Burung Chukar sendiri makanannya ialah dedak ayam (berwarna hitam). Berikut disertakan gambar burung Chukar di MasiranFarm untuk tatapan pengunjung.

Sepasang burung Chukar dipenjuru reban burung. Perhatikan warna bulunya


Dua pasang burung Chukar

Untuk lebih jelas lagi, berikut disertakan video klip yang menunjukkan burung Chukar di dalam habitatnya bersama burung Budgie

Sabtu, 17 Oktober 2009

Kawasan Ternak MasiranFarm

Di bawah ini adalah gambar (sila klik pada gambar untuk imej lebih besar) yang menunjukkan sebahagian kawasan ternak yang menempatkan sebahagian besar haiwan ternak seperti angsa, ayam belanda, ayam mutiara, ayam kampung, itik serati, kambing dan lain-lain spesis tambahan. Dan didalam kolam pula terdapat ikan keli, ikan haruan, ikan talapia dan ikan ketutu... tetapi bukan tujuan komersial, hanya untuk personel interest sahaja.

Khamis, 15 Oktober 2009

Ayam Kampung Botak

Di Masiranfarm terdapat juga beberapa spesis ayam kampung. Sekadar mempelbagaikan jenis ternakan agar lebih meriah. Antaranya ialah spesis yang saya namakan ayam kampung botak. Botak bermaksud tengkuknya tidak berbulu. Spesis ini adalah kacukan dari baka betina ayam janggut (tengkuknya tidak berbulu) yang dikahwinkan dengan baka jantan ayam kampung ori. Tujuan dikacuk agar spesis ayam ini tahan lasak apabila kena hujan. Dan sekarang ini adalah kacukan generasi ke lima

Baka jantan ayam kampung botak


Gambar sebahagian dari spesis ayam kampung botak

Video klip berikutnya cuba untuk menjelaskan lagi spesis ayam ini... selamat menonton


Ahad, 2 Ogos 2009

Burung Merak di MasiranFarm

Ramai yang bertanya kepada saya berkenaan burung merak. Sebenarnya terlalu sukar untuk memenuhi permintaan burung ini. Di MasiranFarm sahaja... belum sempat merak ini membesar telah menunggu peminat-peminat merak untuk membelinya. Sehinggakan saya hanya berkesempatan memelihara beberapa ekor sahaja untuk dijadikan baka.

Berikut ini dipaparkan gelagat beberapa ekor merak yang masih muda usianya yang berada di dalam kurungan bersama-sama dengan anak ayam mutiara dan ayam belanda. Tumpuan video ini adalah kepada burung merak... selamat menonton


Ahad, 26 Julai 2009

Ayam Mutiara Puteh

Di Masiranfarm terdapat sepasang Ayam Mutiara/Ayam Api-api yang bulunya berwarna puteh... lain dari kebiasaan ayam mutiara yang warna kehitaman. Saya sedang cuba untuk membiakkan spesis mutiara puteh ini. Dan sekarang ada beberapa ekor anak mutiara puteh yang sedang membesar....

Inilah gambar ayam mutiara puteh yang dimaksudkan itu.

Sila tonton video klip dibawah untuk melihat perbezaan antara mutiara puteh dan mutiara hitam serta beberapa ekor anak mutiara puteh diakhir video ini

Khamis, 16 Julai 2009

Angsa Kelabu + Angsa Putih = ANGSA KETIH

Angsa Kelabu + Angsa Putih = Angsa Ketih. Kacukan antara angsa kelabu dan angsa putih menghasilkan spesis angsa ketih. Dalam video sebelum ini telah di paparkan angsa kelabu dan angsa putih yang mengawan dan menghasilkan angsa ketih. Saiz badannya sama saja, cumanya terdapat gabungan warna kelabu dan putih. Gambar di bawah menunjukkan Angsa Ketih menyerupai warna paruh dan kaki yang sama dengan angsa putih.

Jika diteliti, warna bulu di kepala hingga ke tengkuk berbeza dengan angsa putih dan angsa kelabu di mana warnanya agak berwarna cokelat secara keseluruhan. Warna bulu di badannya ada yang banyak mengikut warna angsa kelabu (seperti gambar di atas) dan ada pula lebih banyak kepada warna angsa putih (seperti gambar di bawah)



Untuk lebih mengenali angsa ketih, saksikan video di bawah ini... selamat menonton


Rabu, 8 Julai 2009

Angsa Mandi Dan Mengawan

Sesuatu yang jarang berlaku di MasiranFarm apabila sepanjang bulan Jun yang lalu, ratusan angsa mandi dengan gembiranya dan diselang seli dengan aktiviti mengawan. Dan pada masa yang sama sepanjang bulan tersebut, angsa langsung tidak bertelur. Mungkin ini petanda bahawa sepanjang bulan Jun, angsa tidak bertelur tetapi mereka kerap mengawan sebagai persediaan untuk kembali bertelur pada bulan Julai. Ternyata mulai awal Julai, angsa kembali bertelur. Sebab itulah bulan Jun tiada anak angsa yang menetas dan permintaan anak angsa dari pelanggan tidak dapat dipenuhi.

Video berikut ini memaparkan kegembiraan sekumpulan angsa yang begitu seronok mandi dan ada ketikanya mengawan di dalam air. Video ini dirakam pada 24 Jun lalu, jam 3.30 petang dalam keadaan angsa kekenyangan selepas makan. Saksikan...

Khamis, 2 Julai 2009

Kepuasan Seorang Penternak Ketika Mengutip Telur

Sebagai seorang penternak, saat yang menggembirakan dan memberi kepuasan adalah ketika unggas yang diternak mula bertelur. Di MasiranFarm, pelbagai jenis ternakan dipelihara... angsa, ayam belanda, ayam mutiara, ayam kampung dan itik serati adalah antara unggas yang sentiasa bertelur apabila cukup matang. Cumanya ketika rakaman di lakukan (24 Jun lalu) ratusan angsa di MasiranFarm tidak bertelur kerana ketika ini angsa sedang galak mengawan sebagai persiapan untuk bertelur pada musim berikutnya (Video klip angsa sedang mandi dikolam di samping itu mengawan akan diupload tidak lama lagi)

Dalam video klip ini di paparkan aktiviti setiap hari telur-telur tersebut dikutip di pelbagai tempat unggas bertelur di sekitar kawasan MasiranFarm. Walaupun tempat bertelur disediakan, tetapi unggas memilih tempat yang sesuai bagi habitat mereka. Saksikan video klip ini....

Jumaat, 26 Jun 2009

Nantikan Kemunculan Burung Budgie di MasiranFarm

Spesis burung terbaru bakal memeriahkan lagi MasiranFarm. Burung Budgie adalah spesis yang dimaksudkan. Burung Budgie juga dipanggil Budgerigar atau Parakeet adalah dari spesis burung Nuri dan jenis burung lain yang termasuk dalam keluarga Nuri adalah Lovebird, Cockatiel, Macaw dan lain-lain. Spesis burung Budgie ini boleh hidup antara 8-14 tahun dan ada yang boleh hidup sehingga 20 tahun. Burung ini sememangnya cantik, mempunyai pelbagai warna... putih, biru, kuning, hijau dan gabungan pelbagai warna. Saiznya sebesar burung merbah dan suaranya bakal menyerikan lagi kedamaian dan amat sesuai dipelihara dirumah-rumah. Di bawah ini disertakan beberapa gambar burung Budgie untuk tatapan pengunjung.

Beberapa ekor Budgie sedang bertenggek sambil beristirehat

Sepasang Budgie dilihat dari dekat... gabung pelbagai warna pada bulunya

Seekor Budgie serba putih... paruhnya sama seperti burung nuri

Satu lagi gambar Budgie sedang beristirehat

Inilah mahligai burung Budgie yang bakal menyerikan lagi MasiranFarm


Dan untuk lebih mengenali burung Budgie, disertakan dibawah ini video yang dirakam pada 24 Jun lalu di salah sebuah tempat pembiakan burung ini... selamat menonton dan nantikan kehadirannya di MasiranFarm dalam masa yang terdekat

Ahad, 10 Mei 2009

Suasana Ketika Memberi Makan Kepada Haiwan Ternak

Saat yang paling mengujakan apabila melihat semua haiwan ternak dapat dikumpulkan bersama-sama dalam satu masa. Suasana ini dapat dilihat ketika memberi makan kepada mereka. Berikut ini dipaparkan suasana ketika haiwan ternak di MasiranFarm sedang makan. Ketika video ini dirakam lebih kurang jam 6.30 petang, hujan lebat baru sahaja berhenti. saksikan...

Khamis, 23 April 2009

Tips Memelihara Anak Angsa

Saya banyak menerima panggilan telefon dari rakan penternak yang bertanyakan cara memelihara dan menjaga anak angsa. Untuk memudahkan semua pengunjung blog ini, video klip di bawah ini sedikit sebanyak cuba memberikan tips untuk memelihara dan menjaga anak angsa. Selamat menonton...


Selasa, 7 April 2009

Makanan Sampingan Anak Angsa

Kos pemeliharaan angsa banyak tertumpu kepada penyediaan makanannya. Sumber makanan tambahan dari bahan-bahan buangan seperti lebihan makanan dan tanam-tanaman boleh boleh membantu menjimatkan kos. Dalam klip video berikut ini dipaparkan anak angsa diberi makan daun-daun pisang sebagai makanan sampingan bagi mempelbagaikan bahan makanannya. Selamat menonton...

Selasa, 31 Mac 2009

Perkongsian Pengalaman Menternak Angsa

Tumpuan utama MasiranFarm adalah menternak angsa. Pada asalnya sekadar hobi dengan menternak beberapa ekor angsa sahaja. Lama-kelamaan bilangan ternakan angsa bertambah sehingga mampu menjana pendapatan sampingan. Ikuti perkongsian pengalaman menternak angsa ini melalui klip video di bawah. Selamat menonton...

Ahad, 22 Mac 2009

Tips Menanam Rumput Napier Taiwan

Ramai rakan penternak yang menghubungi saya bertanyakan kaedah penanaman rumput napier Taiwan. Untuk memudahkan penerangan, klip video di bawah ini saya cuba menerangkan tips menanam rumput napier Taiwan. Saya mengharapkan penerangan ini mampu menjelaskan segala kemusykilan dan bagi saya sekali lagi saya mengesyorkan agar tanamlah benih rumput napier Taiwan. Sila hubungi saya untuk maklumat lanjut


Kelebihan rumput napier baka Taiwan

Saya mengesyorkan kepada penternak agar menanam rumput napier dari baka Taiwan kerana ianya mempunyai kelebihan tersendiri. Klip video ini saya jelaskan secara detail kelebihan yang dimaksudkan ini. Justeru kepada sesiapa yang berminat dengan benih rumput napier baka Taiwan ini sila hubungi saya

Melawat kawasan tanaman rumput napier

Di Masiranfarm, rumput napier merupakan antara makanan utama haiwan ternak. Ianya ditanam bagi mempelbagaikan makanan haiwan dan secara tidak langsung dapat menjimatkan kos makanan. Dengan tanaman rumput napier ini seolah-olah mendapat sumber makanan haiwan secara percuma. Hanya perlukan sedikit qudrat untuk mengusahakannya.

Saksikan klip video ini yang memaparkan kawasan tanaman yang khusus ditumpukan kepada tanaman rumput napier

Ayam Belanda di Masiranfarm

Sebelum ini blog ini tidak pernah memaparkan gambar dan video mengenai ayam belanda. Sekarang baru berkesempatan untuk menguploadkannya. Ayam belanda merupakan antara ternakan utama di Masiranfarm.

Dalam video ini hanya memaparkan sekumpulan ayam belanda yang sempat dirakam. Ayam belanda merupakan ternakan yang jinak dan semasa rakaman diambil dari dekat, binatang ini tidak melarikan diri. Saksikan...

Sabtu, 14 Februari 2009

Mesin Tetas Manual

Terima kasih atas pertanyaan En. Nan....

Dan bagi menjawab pertanyaan tersebut saya rasa terlalu panjang utk dimuatkan dlm cbox, jadi saya terangkan di sini.

En. Nan bertanya ttg kekerapan utk membalikkan telur dan adakah boleh dibalikkan dgn tgn..

Telur yg ditetas mesti dibalikkan 4-6 kali setiap hari sepanjang jangka masa pengeraman dan boleh dibalikkan dgn tangan (lg elok guna sarung tangan). Arah pusingan ke kiri atau kanan telur dan pastikan seluruh permukaan telur mendapat suhu yang sekata. Posisi telur sangat penting iaitu hujung telur yang besar mesti di atas dan lebih baik lg kalau telur dicondongkan 45 darjah... TETAPI berhenti menterbalikkannya pada tiga hari terakhir sebelum menetas. Pd hari terakhir, embrio sedang bergerak ke posisi menetas dan tidak perlu diterbalikkan.

Harap keterangan ini dapat membantu...

Isnin, 26 Januari 2009

Kecantikan Angsa Putih

Ramai suka memelihara angsa putih kerana kecantikannya. Gabungan warna bulunya yang keputihan dan paruhnya (muncung)kuning keemasan menyerlahkan kecantikan dan seolah menjadi simbol kebersihan. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup membeli angsa putih dengan harga yang mahal berbanding dengan angsa kelabu. Begitu juga di MasiranFarm, permintaan angsa putih amat memberangsangkan hingga sukar memenuhi permintaan pelanggan. Video berikut ini dizoom secara dekat untuk melihat kecantikannya yang diselangseli dengan suaranya yang meriuhkan suasana di Masiranfarm