Ahad, 30 Mei 2010

Masiranfarm di Metro Ahad 30 Mei2010

Assalamualaikum

Ikuti kisah terkini masiranfarm di Metro Ahad (30 Mei 2010) dengan tajuk SYURGA UNGGAS
Dalam edisi cetakan terdapat 7 keping gambar berwarna yang menggambarkan suasana unggas di masiranfarm
..................


Syurga unggas
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/05/30

SERONOKNYA melihat sekawan angsa bercempera menyeberangi kolam untuk menyelamatkan diri apabila penulis dan jurugambar menghampiri. Riuhnya usah cerita.

Pemandangan di Masiran Farm, Kampung Ara Payung, Batu Gajah, Perak lain daripada biasa kerana suasananya sukar ditemui di zaman ini. Di kawasan lapang berhamparan pasir memutih itu, pelbagai jenis unggas bertebaran mencari makan dan berehat. Terlintas di dalam hati, rupanya masih ada suasana desa permai dan mengasyikkan seperti yang pernah penulis lihat sewaktu menjejakkan kaki ke kampung ibu di Perak, kira-kira 30 tahun lalu. Ia seolah-olah taman burung mini yang menempatkan pelbagai jenis unggas tetapi bertebaran dalam habitat semula jadi. Ketika penulis menyuarakan pandangan mengenai keindahan kawasan itu, pemiliknya, Masiran Kaamin, 52, berkata dia sendiri kurang pasti mengenai perkara itu, tetapi katanya, pengunjung lain turut memberi komen sama.


“Orang kata tempat ini cantik, tapi saya kata ‘mana ada cantik’. Kata mereka, susah hendak cari pemandangan seperti ini sekarang ini,” katanya yang berhasrat membuat kolam lebih besar di ladang itu. Ikan keli, haruan, tilapia dan ketutu dipelihara di kolam tetapi bukan tujuan komersial, sebaliknya untuk suka-suka. Ladang ternakan itu diusahakannya lebih empat tahun lalu untuk menambah pendapatan keluarga selain memanfaatkan tanah cerun di tepi rumahnya.


Awalnya Masiran memelihara ayam kampung selama hampir setahun. Bagaimanapun, apabila harga makanan ayam naik mendadak akibat kenaikan harga minyak pada 2007, dia terpaksa membuat perubahan.


“Saya kemudian mempelbagaikan haiwan peliharaan dengan membela ayam Belanda, ayam Mutiara dan angsa. Ini kerana anak unggas terbabit mahal jika dijual serta boleh untung manakala kos makanan tidak terlalu tinggi seperti menternak ayam,” katanya.


Bertindak sebagai pembekal, Masiran menawarkan pelbagai unggas terutama anak untuk jualan. Ketika kunjungan, terdapat anak ayam Belanda berusia seminggu, anak merak (dua minggu), ayam mutiara (dua hari) dan anak angsa (seminggu) untuk jualan. Turut dipelihara ialah ayam selasih, ayam bulu balik, ayam kampung, ayam kapas, ayam kampung botak, itik serati, burung Budgie dan Chukar. Anak merak India berusia dua minggu dijual dengan harga RM160 seekor. Harganya mahal kerana unggas itu sukar membiak.


“Terdapat lima ekor, tetapi semua sudah ada pembeli,” katanya.


Ayam mutiara antara unggas menerima permintaan tinggi daripada pembeli. Masiran mendapat baka ayam berkenaan yang diberikan seorang kenalan tiga tahun lalu. Ayam mutiara yang turut digelar ayam api-api itu dibiakkan, bertelur 30 biji dan ditetaskan menerusi inkubator. “Ayam ini bulunya cantik manakala dagingnya enak. Rasa dagingnya seperti burung, sedap dimasak rendang atau kicap. Seekor ayam mutiara dewasa hidup dijual RM60 seekor manakala di kedai, ia dijual RM120. “Ayam mutiara Lavender yang lebih cantik, lebih mahal harganya. Seekor anak berusia seminggu dijual RM50. Ayam mutiara akan membuat bising dan menyerang secara berkumpulan jika ternampak ular.


“Harga ditentukan mengikut saiz ternakan. Namun begitu, harga yang ditawarkan berpatutan. Buat masa sekarang ternakan seperti ayam kapas, ayam Belanda, ayam mutiara, merak, itik dan angsa hanya anak saja yang dijual. Unggas dewasa hanya dijadikan baka untuk mendapatkan telurnya,” katanya.


Ayam selasih yang diperoleh Masiran dari Perlis, dipelihara dalam sangkar juga tidak dijual kerana mahu dijadikan baka. Bulunya seperti kapas dan terdapat dalam dua warna iaitu hitam atau putih. Angsa yang berjaya dibiakkan, bebas mencari makan dan berkeliaran di habitat semula jadinya. Beberapa tahun lalu, angsa tidak dijual di pasaran tetapi diimport dari Thailand. Masiran terpaksa membayar RM150 untuk memiliki ibu angsa berwarna hitam kelabu manakala angsa putih RM250 seekor.


“Ketika mencari baka angsa di sekitar kampung, saya terpaksa membayar jumlah yang tinggi kerana pemilik tidak mahu menjual, tetapi saya beriya-iya hendak membeli.


“Apabila ia berjaya dibiakkan, saya tidak tahu cara hendak menentukan harga. Ketika menjualnya di pasar minggu, saya meletak harga RM50 seekor dan ia mendapat sambutan menggalakkan. Bagaimanapun, ada juga rakan memberi komen, harga itu mahal. Saya beritahu, ketika saya pelihara dan angsa belum bertelur, siapa hendak bagi makan.


“Seekor angsa berusia tujuh atau lapan bulan sudah boleh bertelur menghasilkan antara 20 hingga 30 biji. Harga angsa mahal kerana ia berguna untuk memelihara kawasan, rumah, ternakan atau kebun. Angsa akan membuat bising apabila ada orang tidak dikenali,” katanya yang mempunyai pembeli dari seluruh negara. Menurutnya, kos memelihara angsa banyak tertumpu kepada penyediaan makanannya. Sumber makanan tambahan daripada bahan buangan seperti lebihan makanan dan tanaman seperti daun pisang boleh boleh membantu menjimatkan kos. Meninjau burung Budgie, spesies burung nuri dari Australia dan dibawa masuk dari Thailand yang dipelihara Masiran cukup mengujakan. Keindahan unggas itu cukup memikat hati dengan pelbagai warna seperti putih, biru, kuning, hijau, merah atau gabungan pelbagai warna.


Katanya, haiwan bersaiz sebesar burung merbah itu mampu hidup antara lapan hingga 14 tahun malah ada yang boleh hidup sehingga 20 tahun. Daripada 68 ekor dipelihara November tahun lalu, kini Masiran berjaya membiakkan sehingga menjadi 160 pasang dan bercadang mencukupkan hingga 200 pasang. Bagaimanapun, Masiran belum bercadang menjual unggas berkenaan kerana mahu membiakkan baka terlebih dulu.


“Sebagai penternak, saat menggembirakan dan memberi kepuasan ialah unggas yang diternak mula bertelur. Di sini, angsa, ayam Belanda, ayam mutiara, ayam kampung dan itik serati antara unggas yang sentiasa bertelur apabila cukup matang. “Pada Jun, ratusan angsa di sini tidak bertelur kerana ketika itu sedang galak mengawan sebagai persiapan untuk bertelur pada musim berikutnya. Pada awal Julai, angsa kembali bertelur. Disebabkan itu, pada Jun, tiada anak angsa yang menetas dan permintaan anak angsa daripada pelanggan tidak dapat dipenuhi.


“Walaupun tempat bertelur disediakan, setiap hari telur angsa dikutip di merata tempat di ladang ini kerana unggas berkenaan memilih tempat yang sesuai bagi habitat mereka,” katanya. Dia yang melariskan jualan unggas menerusi laman web masiranfarm.blogspot.com berharap kerajaan melonggarkan syarat penghantaran unggas ke Malaysia Timur.


“Sebelum ini, saya menghantar tempahan kepada pelanggan dari Sabah dan Sarawak, tetapi kini tidak lagi berpeluang berbuat demikian apabila Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah tidak meluluskan penghantaran.


“Saya harap kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini dengan melonggarkan sedikit syarat penghantaran bagi memperluaskan pasaran ekoran permintaan tinggi daripada peminat unggas di sana,” katanya.


Masiran turut memiliki dua pasang burung Chukar daripada seorang kenalan. Habitat burung berkenaan hampir sama seperti burung puyuh dan saiznya lebih kurang tiga kali ganda dari saiz burung puyuh dewasa. Buat masa ini, unggas berkenaan tidak dijual kerana dijadikan baka untuk pembiakan.

SUMBER: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syurgaunggas/myMA/myArticle/

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahniah cikgu..saya da jumpa blog cikgu ni sebelum kuar paper lg.. teringin sangat nak ke tmpat cikgu nak lihat ngan mata kepala saya sendiri suasana kt tmpat cikgu ni...saya org perak tp kerja kt penang..sya mmg minat sgt dlm bidang ternakan ni..andai kata saya nak nak g tgk ladang cikgu ni ada dikenakan bayaran ke x..fauzi matrik penang

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.